Untitled Document
|
|
SEJARAH RINGKAS KESULTANAN KELANTAN |
KELANTAN MERDEKA
Dalam tahun 1717 negeri Kelantan dibahagi kepada dua bahagian : Kelantan Barat dan Kelantan Timur. Raja Perempuan Patani, Mas Chayam puteri Raja Bahar membuat pembahagian ini dan menyerahkan Kelantan Barat kepada putera Tuan Sulong bernama Long Muhammad dan Kelantan Timur kepada Raja Tuan Besar.
Dalam tahun 1733, Long Muhammad menyerang Kota Pengkalan Datu, ibu kota Kelantan Timur. Raja Tuan Besar terbunuh dalam peperangan dengan anak saudaranya ini. Ini adalah permulaan dari zaman huruhara dalam Kelantan. Beberapa peperangan terjadi antara Kelantan Timur dan Kelantan Barat juga peperangan dengan kerajaan Pusat Patani sendiri.
Setelah Raja Long Muhammad dikalahkan dalam tahun 1746, RAJA LONG SULAIMAN putera Raja Tuan Besar dari isterinya yang pertama diangkat oleh Sultan Yunus Patani menjadi 'Raja Kelantan Timur' yang merdeka. Manakala Kelantan Barat masih digabungkan kepada Patani dengan Raja Long Sulaiman sendiri menjadi 'Wakil Sultan'.
Sultan Yunus Patani (bekas Datu Charakan) adalah putera Raja Tuan Besar dari isterinya yang kedua, Raja Pah, puteri Raja Sakti II. Dalam tahun 1749 Sultan Yunus ditembak mati secara rahsia oleh Long Nuh, Datu Pujud. Pujud adalah suatu wilayah di selatan ibu kota Patani. Kemudian Long Nuh mengisytiharkan dirinya 'Raja Patani' memerintah di Kota Pujud.
Long Sulaiman, Raja Kelantan Timur berangkat ke Patani menemui Raja Long Nuh untuk mengentahui latarbelakang sebenar dari pembunuhan adindanya. Raja Long Nuh membersihkan tangannya dan memohon maaf diatas kegagalannya untuk menangkap pembunuh sultan itu.
Raja Long Sulaiman kembali ke Kelantan Timur dan membentuk suatu pasukan kecil tentera terpilih untuk membuat suatu penyiasatan bebas di Patani untuk menangkap pembunuh adindanya. Mendengar berita itu, Raja Long Nuh Patani merasa curiga lalu menjemput Raja Long Sulaiman ke istananya di Kota Pujud dalam tahun 1750 dan menghadiahkan 'Kelantan Barat' kepada Raja Long Sulaiman.
Dengan penyerahan ini seluruh Kelantan pun berpisah dari Patani dan menjadi sebuah negara yang bersatu dan merdeka setelah bersekutu dengan Patani pada peringkat kedua selama 131 tahun, dari tahun 1619 hingga tahun 1750.
Raja Long Sulaiman memindahkan ibu kotanya dari Kota Pengkalan Datu ke Kota Kubang Labu di Kelantan Barat.
Tidak lama setelah mendapat kemerdekaan itu, pertelikahan terjadi diantara Kelantan dan Legeh suatu wilayah Patani yang berjiran dengan Kelantan dan telah memerdekaan diri dari Kerajaan Pusat Patani. Raja Legeh, Long Abdul-Rahman Baginda, yang memberikan perlindungan politik kepada Raja Long Muhammad berusaha untuk menjatuhkan Raja Long Sulaiman dari takhta Kelantan. Berlaku beberapa peperangan antara Kelantan dan Legeh yang bermula dalam tahun 1755 dan berakhir dalam tahun 1756 dengan gugurnya Raja Long Sulaiman dalam pertempuran. RAJA LONG MUHAMMAD diangkat menjadi 'Raja Seluruh Kelantan'. Raja Long Muhammad kemudian terbunuh dalam tahun 1757, dalam peperangan diantaranya dan Raja Legeh yang menolongnya tadi.
Selepas itu, Kelantan terletak dibawah perlindungan Legeh setelah tujuh tahun sahaja menjadi Negara merdeka. Raja Legeh mengangkat adinda raja Kelantan yang terbunuh itu bernama LONG PANDAK menjadi 'Raja Kelantan'.
| |
LONG YUNUS |
LONG YUNUS
Raja Long Sulaiman (juga digelar Wan Anom) mempunyai seorang putera tunggal bernama LONG YUNUS yang ditinggalkan ketika masih dalam kandungan bondanya kira-kira dalam tahun 1701. Long Sulaiman meninggalkan Patani mengembara ke Aceh kemudian ke Istambul, ibu kota Negara Othmaniah. Di sini Long Sulaiman tinggal dalam tempoh yang sangat lama hingga puteranya telah berusia kira-kira 35 tahun.
Long Yunus dihalau oleh bonda angkatnya, Raja Perempuan Patani, Mas Chayam. Lalu Long Yunus mengembara ke Kelantan hidup bersama rakyat miskin di kampung-kampung.
Selepas kemangkatan Raja Long Muhammad dalam tahun 1757, Long Yunus bersama sahabatnya Long Gakpa berangkat ke Terengganu. Di sini Long Yunus mendengar berita dari Kelantan bahawa Raja Long Pandak sedang membangukan suatu angkatan tentera yang besar untuk menakluki Terengganu. Serangan dijadualkan akan berlaku dalam tahun 1759. Long Pandak telah melakukan kezaliman ke atas rakyat Kelantan untuk mendapatkan belia-belia lelaki dan perempuan secara paksa untuk dijadikan tentera dan hamba abdi.
Bila mendengar berika kezaliman itu, Long Yunus memohon bantuan tentera dari Sultan Mansor Terengganu, Riau dan Reman dan suatu pasukan tentera sukarelawan dari Kelantan.
Dalam tahun 1759, Long Yunus memimpin tentera gabungan itu ikut laut menuju ke Kelantan dan menyerang benteng Kubang Labu secara Komando pada waktu malam. Kemenangan berpihak kepada Long Yunus maka Terengganu dapat diselamatkan dari serengan Kelantan Legeh dan rakyat Kelantan dapat dihindarkan dari penindasan.
Kedua pihak ini saling serang menyerang beberapa kali. Peperangan-peperangan ini memberikan peluang kepada Long Yunus bertapak dalam pemerintahan Kelantan dan akhirnya LONG YUNUS dapat menyingkirkan seluruh kekuasaan Legeh dari Kelantan dan mengisytiharkan dirinya'RAJA KELANTAN' di Kota Kubang Labu dalam tahun 1765.
Dibawah pemerintahan Long Yunus suasana politik dalam Kelantan mulai stabil dan masyarakat Kelantan mulai bersatu di bawah seorang pemimpin baru yang memerintah dengan adil.
Raja Long Yunus kemudiannya memindahkan ibu kota dari Kota Kubang Labu ke Kota Bharu. Tapak ibu kota ini terletak di Kampung Sirih dan pada mulanya dinamakan 'Pengkalan Galuh' ertinya 'Pengkalan Permata'. Bila kota ini berkembang beberapa dekad kemudian, hingga abad ke-19, diubahkan namanya menjadi 'Kota Bharu'.
Malangnya, pada bahagian akhir dari zaman pemerintahan Long Yunus, timbul pertikaian dengan Sultan Mansur Terengganu, sahabat karibnya dulu. Dalam tahun 1794, Sultan Zainal-Abidin II Terengganu membuat suatu percubaan menyerang Kelantan, tetapi tiada sempat bertempur. Selepas mangkatnya Raja Long Yunus, terjadi dua kali serangan Terengganu, yang pertama dalam tahun 1795, tetapi gagal dan yang kedua juga yang terakhir pada tahun 1800. Dalam serangan itu Terengganu dibantu oleh Patani. Negeri Kelantan dikalahkan oleh serangan-serangan dari dua penjuru.
Dalam tahun 1801, Long Muhammad putera Raja Long Yunus melancarkan serangan balas dari ulu Kelantan dan membebaskan kembali negeri Kelantan. Selepas tamat peperangan itu, barulah LONG MUHAMMAD mengisytiharkan dirinya 'SULTAN MUHAMMAD 1'.
Sultan Muhammad 1 memerintah hingga tahun 1837 tanpa meninggalkan putera dan puteri. Ketika baginda sedang gering, adinda baginda yang bernama Long Jenal, telah dihalau keluar negeri kerana terdapat bukti menghasut orang-orang cina di ulu Kelantan membunuh saudaranya Long Tan, telah kembali semula ke Kelantan. Setelah baginda Sultan mangkat, LONG JENAL mengisytiharkan dirinya 'Raja Kelantan' dengan gelaran 'YAMTUAN KELANTAN'.
Tindakan ini ditentang oleh anak saudaranya LONG SENIK MULUT MERAH putera Long Tan menerusi suatu pemberontakan dalam tahun 1839 dan berjaya menghalau Long Jenal dan merebut kekuasaannya. Long Senik mengisytiharkan dirinya 'Raja Kelantan' dengan gelaran 'SULTAN MUHAMMAD II'. Kemudian diiktiraf oleh Raja Siam sebagai Raja Kelantan yang sah.
Akibat dari peperangan saudara ini, Tuan Besar, Raja Kampong Laut, Putera Long Ismail diangkat oleh pihak berkuasa Siam menjadi 'Raja Nongchik' suatu wilayah di sebelah barat wilayah pusat Patani, untuk menghindarkan perpecahan yang berlanjutan dalam Kelantan. Kedudukan politik Sultan Muhammad II dalam negeri bertambah kuat. Kemudian, Raja Tuan Besar diangkat menjadi 'Raja Patani' dengan gelaran 'Sultan Muhammad'. Baginda adalah pengasas Kelaurga Diraja Patani yang terakhir. Keturunannya menjadi Raja Patani hingga tahun 1921.
LONG YUNUS | 0 replies | Author: Admin | Date: 21-11-2011 | Time: 12:04 | Updated: 22-11-2011 |
| |
RAJA-RAJA KELANTAN SEHINGGA SEKARANG |
RAJA-RAJA KELANTAN SEHINGGA SEKARANG
Sultan Muhammad II (Sultan Muhammad Mulut Merah) memerintah Kelantan sehingga tahun 1886. Baginda digantikan oleh puteranya, LONG SULUNG dengan gelaran ‘SULTAN AHMAD’ juga digelarkan ‘Sultan Tengah’.
Baginda mangkat dalam tahun 1889 dan ditabalkan puteranya, LONG KUNDUR dengan gelaran’ SULTANMUHAMMAD III’ (terkenal juga dengan gelaran ‘Raja Bendahara’ dan ‘Sultan Bungsu’). Baginda mangkat dalam tahun 1890.
Putera Sultan Muhammad III bernama Long Senik (bakal sultan) masih muda ketika itu, maka ditabalkan saudaranya yang bernama LONG MANSUR dengan gelaran ‘SULTAN MANSUR’. Baginda mangkat dalam tahun 1899 dengan tidak meninggalkan putera dan puteri.
LONG SENIK ditabalkan menjadi sultan Kelantan dengan gelaran ‘SULTAN MUHAMMAD IV’ pada 22 Jun 1911.
Sultan Muhammad IV mangkat pada 23 Disember 1920 dan ditabalkan puteranya TENGKU ISMAIL menjadi sultan dengan gelaran ‘SULTAN ISMAIL’. Baginda mangkat pada 20 Jun 1944 dengan tidak meninggalkan putera dan puteri.
Adinda baginda, TENGKU IBRAHIM diangkat menjadi sultan dengan gelaran ‘SULTAN IBRAHIM’ pada 21 Jun 1944. Dalam pemerintahan baginda Kelantan bersama dengan negeri-negeri melayu yang lain telah mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 31 Ogos 1957. Baginda mangkat pada 9 Julai 1960.
Pada 10 Julai 1960 putera baginda TENGKU YAHYA PETRA diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran ‘SULTAN YAHYA PETRA’.
Dalam persidangan Majlis Raja-raja pada 21 September 1975 baginda telah dipilih memegang teraju pemerintahan Negara Malaysia sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-6.
Baginda mangkat pada 29 Mac 1979 di Istana Negara, Kuala Lumpur dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu.
Putera baginda, TENGKU ISMAIL PETRA telah diisytiharkan menjadi sultan memerintah negeri Kelantan Darulnaim. Upacara Kemahkotaan ke bawah DULI YANG MAHA MULIA SULTAN ISMAIL PETRA dan ke bawah Duli yang Maha Mulia Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid telah berlangsung di Istana Balai Besar pada 30 Mac 1980.
Kemudian pada 13 September 2010 bersamaan 4 Syawal 1431, Tengku Muhammad Faris Petra, putera sulong Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan dengan memakai gelaran “SULTAN MUHAMMAD V’.
WALK WITH ME
Suber rujukan : Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah (Perbadanan Muzium Negeri Kelantan 1981)
Disusun oleh : Ramlee bin Mamat, AJK Biro Agama dan Kebajikan Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al Muhammadi.
| |
|
|
|
|
|
|